Sunday, January 29, 2017

Kaitan Peredaran Darah dan Sistem Limfa

Sistem Peredaran Darah Manusia Ganda Dua
Dahulu waktu di Tingkatan 3, adik-adik ada belajar tentang Sistem Peredaran Darah dan Pengangkutan. Waktu itu, sukatan pelajaran tidak menyentuh langsung tentang sistem Limfa, betul tak? Dalam Biologi tingkatan 5 barulah adik-adik didedahkan dengan Sistem Limfa sebagai salah satu sistem yang turut berkait dengan sistem peredaran darah juga.

Untuk sistem peredaran darah, sudah jelas yang ia terdiri daripada beberapa organ iaitu jantung, salur darah dan darah.
3 Jenis Salur Darah
Salur darah ada 3 iaitu arteri, vena dan kapilari.

Darah pula ada 4 komponen iaitu sel darah merah, sel darah putih, platlet dan plasma.

Jantung akan mengepam darah dari bahagian kanan jantung ke peparu untuk mendapatkan bekalan oksigen (melalui Sistem Respirasi, menarik dan menghembus nafas) dan menyingkirkan karbon dioksida. Kemudian, darah yang kaya oksigen ini (beroksigen) di bawa semula balik ke jantung sebelah kiri. dipam pula ke seluruh anggota badan bagi memenuhi pelbagai keperluan sel seperti oksigen, nutrien, hormon, antibodi dan lain-lain melalui aorta dan bersambung pula dengan arteri lainnya yang pelbagai nama. Bahan-bahan keperluan sel akan keluar dari kapilari darah ke dalam cecair interstis iaitu cecair yang terdapat antara sel badan dan kapilari darah. daripada cecair interstis, barulah bahan-bahan ini menyerap ke dalam sel-sel badan. Bahan kumuh daripada sel pula seperti urea dan karbon dioksida dipindahkan ke dalam kapilai darah melalui cecair interstis.

Semasa proses pertukaran bahan keperluan sel dan bahan kumuh ini, plasma dalam salur kapilari akan keluar merentasi dinding kapilari. Platlet, sel darah merah dan sel darah putih pula tidak dapat merentasi dinding kapilari. Plasma membawa nutrien, vitamin, mineral, antibodi dan enzim. Plasma keluar dan memenuhi ruang di antara sel dan kapilari. Pada tahap ini, ia dinamakan cecair interstis. Selepas pertukaran bahan, cecair ini akan masuk semula ke dalam kapilari yang berdekatan dengan salur vena. Penyerapan semula ini penting supaya darah dapat mengalir dengan normal kerana plasma adalah cecair yang menggerakkan aliran darah dalam salurnya. Namun, tidak semua cecair dapat diserap semula ke dalam kapilari.

Kedudukan Salur Limfa
Bagaimana dengan saki-baki cecair plasma yang tidak diserap ini? Jadi, di sinilah Sistem Limfa mengambil peranan. Jaringan salur limfa terdapat banyak di dalam badan kita seperti salur darah juga. Saki-baki cecair plasma akan masuk ke dalam penghujung salur limfa yang tertutup terdapat banyak di bahagian antara sel. Kemudian cecair tersebut dikumpulkan, ia melalui nodus limfa untuk menyingkirkan bakteria jika ada dan berakhir di vena toraks dan vena subklavikel kanan untuk masuk semula ke dalam saluran darah.

Sudahkah adik-adik jelas? ;)

Wednesday, January 18, 2017

Congak: Menambah dan Menolak Integer

Cikgu selalu perhatikan ramai pelajar kita yang teragak-agak bila bertemu soalan yang melibatkan integer (nombor positif dan negatif). Dalam banyak keadaan, lebih mudah menggunakan kalkulator saja bukan. Tapi apa yang Cikgu hendak kongsikan kali ini ialah menyelesaikan operasi tambah dan tolak integer tanpa kalkulator, bahasa mudahnya congak.

Perhatikan beberapa contoh soalan ini:
1) -6 + (+8) =
2) -2 + 6 =

Baiklah, jom bermula ya. Jika kita jumpa soalan 1 dan 2 seperti di atas, perhatikan ia melibatkan satu nombor positif dan satu nombor negatif. Dalam soalan 1, -6 ialah nombor negative manakala +8 ialah nombor positif. Bagi nombor 2, -2 ialah nombor negatif manakala 6 ialah nombor positif.

Cara congak melibatkan integer +/-
Langkah-langkah:
  1.      Selesaikan sebarang pertemuan operasi
  2.      Digit yang besar tolakkan dengan digit kecil. Congak semasa langkah ini
  3.      Jawapan akhir diletakkan simbol + atau – di depannya mengikut simbol pada digit yang besar tadi.
Penyelesaian Soalan 1Langkah 1: -6 + (+8) menjadi -6 + 8
Langkah 2: 8 – 6 = 2
Langkah 3: Jawapan ialah +2 (sombol mengikut digit yang besar iaitu 8)
Penyelesaian Soalan 2Langkah 1: -2 + 6
Langkah 2: 6 – 2 = 4
Langkah 3: +4

Sekarang perhatikan pula jika kita berjumpa soalan seperti ini:
3) -1 + (-3)
4) +3 - (-8)

Apabila kita menyelesaikan pertemuan operasi, soalan 3 dan 4 menjadi seperti berikut:
3) -1 – 3
4) +3 + 8

Dalam kes ini, kedua-dua nombor mempunyai simbol yang sama. Contohnya dalam soalan 3, kedua-dua digit 1 dan 3 ialah integer negatif dan dalam soalan 4, 3 dan 8 kedua-duanya ialah integer positif.

Cara congak melibatkan -/- dan +/+

Langkah-langkah:
  1.         Tambahkan kedua-dua digit
  2.         Jawapan akhir diletakkan simbol + atau – di depannya mengikut simbol kedua-dua digit dari soalan
Penyelesaian Soalan 3
                -1 3 =
Langkah 1: 1 + 3 = 4
Langkah 2: -4
Penyelesaian Soalan 4                +3 + 8 =
Langkah 1: 3 + 8 = 11
Langkah 2: +11


Adik-adik cuba praktikkan 2 kaedah ini ya. Penggunaan kalkulator memang bagus tetapi boleh melambatkan pengiraan adik-adik. Kemahiran congak amat baik supaya adik-adik lebih cekap mengira. Diharap perkongsian Cikgu kali ini bermanfaat hendaknya ;)