Thursday, December 15, 2016

Motivasi: Jangan kau mengalah

Tiada sebab untuk kita kecewa dengan barang yang bukan hak kita. Segala-galanya milik Allah SWT, sombonglah kita andai  kecewa pada benda yang bukan milik kita. Seandainya telah Dia tentukan rezeki itu untuk kita, pasti malah sangat pasti tiada satu apapun yang akan dapat menghalang kita daripada memilikinya. Percayalah.. seandainya sesuatu itu bukan direzekikan untuk kita, biar apapun yang kita lakukan pasti ia terlepas jua dari tangan. Pokoknya, itu semua milik Dia. Biarpun kita memiliki dalam satu tempoh masa, ingatlah itu hanya pinjaman belaka kerana kita bukan pemilik mutlaknya. Jadi harus bagaimana kita? Biarkan saja segala-gala tanpa berbuat apa-apa? Oh, itu salah sekali.  

Bukankah Allah menyeru kita pada kejayaan sesudah ketaatan dalam beragama? Islam itu membawa sejahtera, bukan sebaliknya. Kata orang kebanyakan yang percaya pada qada' dan qadar bahawa manusia merancang, Allah menentukan. Benarlah kata-kata itu, kita merancang yang kita rasakan terbaik buat kita tapi tanpa kita sedari  sebenarnya Allah juga merancang. Bezanya kita dan Dia, Dia Maha Mengetahui apa yang paling terbaik untuk kita. Lantas, dia hadirkan segala sesuatu yang pedih, gembira, duka dan sebagainya, ada kalanya dan mungkin acapkali menongkah arus matlamat dan perancangan kita. Justeru kita rasa Dia tidak adil, apatahlagi bila membandingkan diri dengan orang lain yang serba lebih. Ah, sedarlah. Berbahagialah. Dia bukan sengaja menguji kamu. Bukankah Dia berjanji bahawa tidak Dia jadikan sesuatu dengan sia-sia?

Subhanallah, jangan kamu ralat memikirkan segala rencananya.. "Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik untukmu. Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Bersabarlah..
Berusahalah..
Berdoalah..

Bersabarlah atas segala sesuatu yang  tidak menyukakan perasaanmu. Bersabarlah bila yang dirancang tak menjadi. Bertahanlah bila air mata sering menemani sekeping hati yang sedang remuk-redam. Hey, Dia Maha Tahu berapa liter air mata sudah kau titiskan. Tapi sabarlah dan fikirkan sejenak tika kau marah, siapa sebenarnya kau tujukan kemarahan itu. Kau marahkan Allah kah? Yang  telah mengatur segala-galanya.. sehingga kau jadi begini? Nauzubillah..astaghfirullah, sabarlah.

Sebagaimana Dia menyakiti mu dengan ujian-ujian, Dia pasti memberi ganjaran.. sebagaimana kisah suram hujan yang kemudian menghadiahkan kita pelangi nan indah. Kamu tahu usaha itu tangga kejayaan. Kamu juga  tahu Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubahnya. Itulah gamaknya key word kepada hijrah dan kejayaan. Andai ingin sesuatu, berusahalah dan sentiasa ingat kejayaan tak semestinya datang pada pertama kali, aturlah langkahmu sehingga segalanya berhasil. Orang yang menang, bukan orang yang mudah menyerah kalah kerana orang yang menyerah kalah tidak pernah menang.

Berdoa pada Dia kerana Dialah Pemilik dan pemegang kunci perbendaharaan langit dan bumi. Pada siapa lagi kita patut memohon jika tidak pada Dia, Pemilik segala-gala. Dan mintalah  juga dia memberikan yang terbaik sebab kita tidak tahu apakah perancangan kita itu baik pada kita. Lantas, titipkan doa memohon diberi ilmu ikhlas dan redha andai impian berganti qada'Nya.


No comments:

Post a Comment