Wednesday, December 21, 2016

Jantung nadi kehidupan kita


Adik-adik cuba genggamkan tangan macam penumbuk. Haa, begitulah saiz jantung kita. Yes, jantung di dalam badan kita yang berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh badan tu.


What? Kecil? Yes, memang agak kecil kan. Tapi Subhanallah Allah jadikan ia sangat powerful menjalankan tugasnya dalam badan setiap diri anak Adam. Banyak-banyak bersyukur guys! ;) Jantung ni kalau nak cerita memang seronok. Cuba adik-adik letakkan tangan di dada kiri masing-masing. Dapat rasa denyut nadi masing-masing tak? Ha di situ letaknya jantung.

Jantung kita mempunyai 4 ruang iaitu atrium kiri, atrium kanan, ventrikel kiri dan ventrikel kanan. Atrium kadangkala dipanggil juga sebagai aurikel. Tugas jantung ialah mengepam darah ke peparu dan seluruh anggota badan, kemudian balik semula ke jantung. Begitulah seterusnya berulang-ulang selagi mana seseorang itu hidup.
Jantung adalah organ yang termasuk dalam jaringan sistem pengangkutan dalam tubuh kita. Sistem pengangkutan ini sebenarnya membawa darah ke seluruh badan. Di dalam darah, ada pelbagai bahan iaitu nutrien (makanan yang dicerna), antibodi, sel pertahanan (darah putih), mineral dan oksigen serta karbon dioksida terlarut. Sistem pengangkutan tubuh termasuklah salur darah dan darah selain jantung. Secara ringkas, sistem pengangkutan berfungsi seperti berikut:

- Membawa nutrien dan oksigen kepada sel-sel badan
- Membawa bahan buangan metabolisme badan seperti karbon dioksida dan urea untuk disingkirkan dari tubuh
- Melindungi tubuh daripada jangkitan (oleh sel darah putih)

Mekanisme sistem pengangkutan mudah sahaja.  Peredaran darah dipanggil juga peredaran ganda dua, kerana jantung mengepam darah dua laluan. Jantung akan mengepam darah ke peparu untuk mendapatkan bekalan oksigen dan dalam masa yang sama membebaskan karbon dioksida supaya disingkirkan melalui hembusan nafas. Darah dari peparu kembali ke jantung semula sebelum dipam sekali lagi ke seluruh anggota badan lainnya (selain peparu). Apabila segala keperluan sel telah dihantar ke sel sasaran, darah akan kembali semula ke jantung. Begitulah berulang-ulang dengan adanya jantung sebagai pengepam sebesar penumbuk sahaja tetapi amat berkuasa ini. Tanpa sistem pengangkutan, nutrien yang kita dapat daripada makanan tidak dapat sampai ke tempat sepatutnya diperlukan. Begitu juga hormon, oksigen, mineral dan sel darah putih tidak dapat sampai ke sel badan sasaran jika tiada sistem pengangkutan. Jika tiada semua bahan dalam darah ini, maka sel-sel badan akan mati kerana tidak mendapat makanan. Proses-proses badan terhenti kerana tiada hormon perangsang. Makanan yang kita makan pula tidak menjadi tenaga akibat tiada oksigen. Badan tidak dapat melawan bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit kerana tiada agen pertahanan iaitu sel darah putih.

Jadi, bolehkah adik-adik bayangkan apa akan terjadi jika berlaku kegagalan jantung? Kegagalan jantung bermaksud jantung tidak dapat mengepam darah ke seluruh badan akibat tersumbat, jantung lemah atau berlubang. Penyakit-penyakit berkaitan jantung dipanggil sebagai penyakit kardiovaskular, contohnya seperti sakit jantung, lemah jantung dan  arterosklerosis (salur darah tersumbat).

So, mari bersama menjaga kesihatan jantung kita ;) Kurangkan makanan berlemak supaya lemak tidak menyumbat salur darah. Banyakkan bersenam supaya otot jantung menjadi kuat dan peredarah darah menjadi lancar. Jangan makan banyak makanan masin supaya tekanan darah tidak tinggi, jika tinggi bermakna jantung perlu mengepam darah lebih kuat. Sayangi jantung anda :)

Thursday, December 15, 2016

Motivasi: Jangan kau mengalah

Tiada sebab untuk kita kecewa dengan barang yang bukan hak kita. Segala-galanya milik Allah SWT, sombonglah kita andai  kecewa pada benda yang bukan milik kita. Seandainya telah Dia tentukan rezeki itu untuk kita, pasti malah sangat pasti tiada satu apapun yang akan dapat menghalang kita daripada memilikinya. Percayalah.. seandainya sesuatu itu bukan direzekikan untuk kita, biar apapun yang kita lakukan pasti ia terlepas jua dari tangan. Pokoknya, itu semua milik Dia. Biarpun kita memiliki dalam satu tempoh masa, ingatlah itu hanya pinjaman belaka kerana kita bukan pemilik mutlaknya. Jadi harus bagaimana kita? Biarkan saja segala-gala tanpa berbuat apa-apa? Oh, itu salah sekali.  

Bukankah Allah menyeru kita pada kejayaan sesudah ketaatan dalam beragama? Islam itu membawa sejahtera, bukan sebaliknya. Kata orang kebanyakan yang percaya pada qada' dan qadar bahawa manusia merancang, Allah menentukan. Benarlah kata-kata itu, kita merancang yang kita rasakan terbaik buat kita tapi tanpa kita sedari  sebenarnya Allah juga merancang. Bezanya kita dan Dia, Dia Maha Mengetahui apa yang paling terbaik untuk kita. Lantas, dia hadirkan segala sesuatu yang pedih, gembira, duka dan sebagainya, ada kalanya dan mungkin acapkali menongkah arus matlamat dan perancangan kita. Justeru kita rasa Dia tidak adil, apatahlagi bila membandingkan diri dengan orang lain yang serba lebih. Ah, sedarlah. Berbahagialah. Dia bukan sengaja menguji kamu. Bukankah Dia berjanji bahawa tidak Dia jadikan sesuatu dengan sia-sia?

Subhanallah, jangan kamu ralat memikirkan segala rencananya.. "Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik untukmu. Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Bersabarlah..
Berusahalah..
Berdoalah..

Bersabarlah atas segala sesuatu yang  tidak menyukakan perasaanmu. Bersabarlah bila yang dirancang tak menjadi. Bertahanlah bila air mata sering menemani sekeping hati yang sedang remuk-redam. Hey, Dia Maha Tahu berapa liter air mata sudah kau titiskan. Tapi sabarlah dan fikirkan sejenak tika kau marah, siapa sebenarnya kau tujukan kemarahan itu. Kau marahkan Allah kah? Yang  telah mengatur segala-galanya.. sehingga kau jadi begini? Nauzubillah..astaghfirullah, sabarlah.

Sebagaimana Dia menyakiti mu dengan ujian-ujian, Dia pasti memberi ganjaran.. sebagaimana kisah suram hujan yang kemudian menghadiahkan kita pelangi nan indah. Kamu tahu usaha itu tangga kejayaan. Kamu juga  tahu Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubahnya. Itulah gamaknya key word kepada hijrah dan kejayaan. Andai ingin sesuatu, berusahalah dan sentiasa ingat kejayaan tak semestinya datang pada pertama kali, aturlah langkahmu sehingga segalanya berhasil. Orang yang menang, bukan orang yang mudah menyerah kalah kerana orang yang menyerah kalah tidak pernah menang.

Berdoa pada Dia kerana Dialah Pemilik dan pemegang kunci perbendaharaan langit dan bumi. Pada siapa lagi kita patut memohon jika tidak pada Dia, Pemilik segala-gala. Dan mintalah  juga dia memberikan yang terbaik sebab kita tidak tahu apakah perancangan kita itu baik pada kita. Lantas, titipkan doa memohon diberi ilmu ikhlas dan redha andai impian berganti qada'Nya.


Sunday, December 11, 2016

Bagaimana Menguasai Tajuk Bulatan?

Tajuk Bulatan biasanya akan keluar satu ke dua soalan dalam Kertas 1 subjek Matematik Moden untuk sukatan peperiksaan SPM. Ada pelajar yang akan langkau sahaja soalan ini sebab tidak ada idea langsung untuk menyelesaikannya. Adik-adik pun sama ke? Rasa trauma bila menjawab soalan Bulatan?? Ishh jangan begitu. Cikgu ada sedikit tips bagaimana nak menguasai soalan-soalan Bulatan dengan baik, insya-Allah.

Soalan bulatan kelihatan susah kerana ia tiada jalan kerja yang khas untuknya. Maksud cikgu ialah jika kita ambil contoh soalan Persamaan Kuadratik, kita sudah tahu langkah pengiraan yang perlu dilakukan bermula daripada  menyusun sebutan dalam bentuk ax2+bx+c=0 sehingga mencari punca-punca kuadratik menggunakan kalkulator. Namun, jangan risau. Berita baiknya ialah soalan Bulatan kelihatan susah, tetapi hakikatnya ia tidaklah sesusah mana. Of course, jika kena caranya. Percaya cikgu J

Semasa di Tingkatan 3, adik-adik sudah belajar banyak hukum Bulatan bukan? Kata kunci utama kepada penyelesaian soalan Bulatan ialah dengan mengetahui hukum-hukum Bulatan ini.



Langkah seterusnya ialah mengetahui hukum Poligon bagi Segi Tiga dan Segi Empat. Kenapa Segi Tiga dan Segi Empat sahaja? Kerana 2 poligon ini sahaja yang akan keluar dalam soalan Bulatan.

Hasil tambah sudut pedalaman Segi Empat ialah 360. Contoh: x = 360-109-96-70

Hasil tambah sudut pedalaman Segi Tiga ialah 180


Apa yang adik-adik perlu lakukan ialah cuba jawab beberapa soalan Bulatan. Letakkan gambar hukum-hukum Bulatan, Segi Tiga dan Segi Empat di sebelah semasa menjawab. Jadikan ia sebagai rujukan setiapkali terasa buntu. Ikuti langkah mudah ini:

  1. Lihat rajah soalan bulatan. Ada beberapa sudut yang telah diberi. Sudut ini adalah hint kepada penyelesaiannya.
  2. Label maklumat lain yang diberi seperti diameter, sama kaki, sama panjang dan lain-lain. Kesemua label ini amat membantu apabila adik-adik labelkan di dalam satu rajah yang sama.
  3. Pindahkan atau guna sudut yang diberi untuk mencari sudut-sudut lain menggunakan hukum Bulatan, hukum Segi Tiga dan Segi Empat. Rujuk gambar hukum selalu sementara mahir. Cikgu percaya latihan-latihan akan membuat adik-adik mahir dan sampai masanya sudah tidak perlu merujuk gambar-gambar hukum tersebut lagi ;)
  4. Cari sudut yang diminta. Ini biasanya selesai semasa melakukan langkah 3.

Bagaimana? Cuba adik-adik praktis beberapa soalan menggunakan gambar hukum Bulatan sebagai rujukan utama. Kerja akan lebih mudah hendaknya. Semoga Berjaya!

Tuesday, December 6, 2016

Mari bermula!


Assalamualaikum semua :)

Sesi tutor cikgu untuk 2016 baru saja berakhir pada 28 November yang lepas. Ia adalah untuk seorang calon SPM yang menduduki peperiksaan Kimia keesokannya. Jadi cikgu cuba bantu dengan meneliti  format Kertas 2 dan Kertas 3 yang melibatkan esei dan soalan subjektif. Semoga Berjaya hendaknya :)

Semalam pula baru bermula sesi tutor pra- 2017. Tugas pertama cikgu adalah hometutor di Kampong Expo, Kamunting. Ingatkan mula pukul 10.30 pagi, rupanya cikgu yang terlewat  temujanji :D Mujurlah ibubapa memahami dan tak berkira sangat. Pelajarnya bakal Tingkatan 3 pada 2017, tinggal di asrama. Jadi, ibunya berharap dia dapat memperbaiki kekurangan dalam subjek Matematik sepanjang cuti sekolah ini. Alhamdulillah, rezeki bagi cikgu ;)

Pada sesi hadapan 2017, cikgu merancang untuk jadikan sesi tutor lebih berkesan dan efisien, insyaAllah. Sepanjang hampir 3 tahun cikgu di dalam bidang ini, serba-sedikit cikgu mengesan kelemahan-kelemahan pelajar, menyedari kekurangan dalam servis cikgu dan ingin menambahbaik modul akademik sedia ada. Doakan usaha cikgu berjaya supaya dapat membantu lebih ramai pelajar untuk skor A dalam pelajaran mereka! Insya-Allah...

Salam perkenalan daripada Cikgu Jaja kerana ini adalah entri pertama cikgu di blog ini. Dan selamat datang 2017!