Cita-cita adalah suatu soalan yang selalu Cikgu utarakan kepada pelajar-pelajar Cikgu. Kadang-kadang sengaja mengisi senggang waktu sementara menunggu Cikgu mencari bahan atau sembang-sembang santai lepas pelajar diasak dengan penyelesaian Matematik yang susah-susah! Hehe
Antara ramai-ramai pelajar, ada yang mahu jadi juruterbang dan guru. Yang mahu jadi petani moden pun ada, tak kurang pula yang mahu jadi ustaz. Tapi ada sesetengah pula yang masih tak tahu pun apa cita-cita mereka.
Pada pendapat Cikgu, cita-cita ini penting jugalah untuk difikirkan sedari bangku sekolah. Sekurang-kurangnya adalah lebih motivasi untuk belajar dan mencapainya suatu hari nanti.
Cikgu teringat lagi.. Semasa di sekolah rendah dahulu murid-murid kena isikan tiga cita-cita ke dalam buku laporan sekolah. Cikgu masa kecil-kecil dahulu tak tahu juga nak jadi apa. Mungkin kurang pendedahan barangkali. Maklumlah budak dahulu tak sama dengan budak sekarang yang lebih advanced serba-serbi. Sudah tu, budak kampung lagi, hihi.
Jadi, bila ditanya tiga cita-cita tersebut oleh guru kelas, Cikgu cuma cakap sahaja kerjaya yang Cikgu tahu. Yang pertama peguam, yang kedua guru. Lagi satu pula jenuh Cikgu fikir, tak dapat-dapat juga idea. Jadi tanyalah pada kawan tentang cita-cita yang dia masukkan dalam buku laporan. Kawan pun beritahu, KILANG. Kita pun apa lagi, bodoh-bodoh masa itu jadi ikut sajalah. Kita pun beritahu guru kelas yang cita-cita ketiga nak letak KILANG. Memang tiru ajelah kawan tadi. Ha ha ha!
Masa itu memang tak tahu pun kerja kilang tu macam mana.. bagus ke tidak. Gaji besar ke tidak?
Tapi bila dah besar ni, sudah tahulah kerja kilang pun ada banyak position. Boleh jadi pengurus, eksekutif, juruteknik mahupun operator dan tukang sapu. Kiranya, kerja kilang ni ada dari sebesar-besar jawatan sehingga yang paling kecil dan rendah sekali. Dan jangan risau, bila sebut kerja kilang ia tak hina pun. Walaupun mungkin sesorang tu berjawatan kecil dan kerja di kilang, Alhamdulillah dan InsyaAllah rezekinya masih halal. Betul tak?
Jadi apabila semakin meningkat dewasa, selepas SPM Cikgu dilorongkan untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia. Masa itu Cikgu ikutkan sahaja perjalanan takdir, sebab mungkin dalam hati tak ada pun cita-cita yang konkrit.
Berhempas-pulas selama hampir 5 tahun di UTM Skudai, Alhamdulillah Cikgu graduate dengan Kepujian Kelas Kedua (Tinggi), Alhamdulillah!
Cewahh, masa itu jadi calon-calon jurutera lah katakan hehe
Sebulan selepas majlis graduasi, Cikgu diterima bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan gred perubatan di Taiping, Perak. Tapi semasa itu tidak ada pun jawatan Jurutera. Daripada Management Trainee, Cikgu diserap sebagai Eksekutif Kawalan Kualiti. Alhamdulillah dalam tempoh hampir 5 tahun di sana, Cikgu belajar banyak sangat benda – daripada selok-belok bidang pekerjaan sehinggalah kemahiran bersosial juga.
Imbas kembali.. cita-cita Cikgu masa sekolah rendah hari tu untuk kerja kilang tu dah tercapai nampaknya! Hehe lucu juga bila dikenang-kenang liku perjalanan hidup ini ya.
Tapi, oleh kerana Cikgu memang berminat dengan bisnes sejak kecil, Cikgu ambil pula sijil Profesional Diploma dalam bidang perniagaan internet di IKSB Ara Damansara yang berkerjasama dengan Open University of Malaysia (OUM). Dan semasa tempoh pengajian hampir 2 tahun itu, Cikgu pun meletakkan jawatan dari kilang.
Dan kini, inilah Cikgu – berkecimpung dengan dunia hometuition! Hehe
Cita-cita ‘sepatutnya’ sebagai jurutera kimia memang sudah agak lama Cikgu lupakan.
Ada yang kata buat rugi sahaja belajar tinggi-tinggi, tetapi akhirnya jadi guru tuisyen yang biasa-biasa sahaja. Rugi belajar lain, kerja lain. – kata merekalah hehe
Tapi secara peribadi, sebenarnya Cikgu rasa tak berapa kisah pun.
Salah satu sebabnya mungkin kerana Cikgu rasakan dunia kejuruteraan memang tidak masuk dengan jiwa Cikgu. Skop kerjanya menuntut banyak komitmen masa dan tenaga selain akal. Senang kata, memang gaji mahal tetapi ada sesuatu yang perlu dikorbankan iaitu masa kita yang berharga. Begitulah congak kira Cikgu.. Ini cakap orang yang memang tak berapa minat dan ada hati dengan kejuruteraan lah ya. Hehe
Well, lain orang kan lain selera..
Ada yang memang minat dan boleh cope dengan skop kerja Jurutera, jadi why not? Kerja sajalah. Duit berkepuk dan yang penting tetap enjoy dalam kerjaya.
Di tahun pertama kos kejuruteraan, kami diajar subjek Introduction to Engineering. Pensyarah pun banyak ceritakan tentang skop kerja jurutera dan lain-lain.
Dalam suatu sesi kelas, Pensyarah suruh kami pejam mata dan bayangkan kehidupan sebagai seorang jurutera. Cikgu tak pasti rakan-rakan lain bayangkan apa. Mungkin mereka bayangkan menjadi jurutera yang sibuk dengan meeting, kerja offshore, keluar masuk production line dan duit berkepuk!.
Tapi, apa yang Cikgu sendiri bayangkan sangatlah berbeza dengan apa yangmungkin rakan-rakan lain bayangkan agaknya. I’m totally a freak weirdo, hahaha!
Nak tahu apa?
Boleh pula masa pejam mata tu, Cikgu terbayang kehidupan Cikgu yang serba-serbi tenang. Siap ada bunyi air mengalir yang buat rasa nyaman saja. Life pun slow and steady saja. Low profile. Senang kata, bukan kehidupan seorang jurutera lah yang nampak profesional, gah dan bergaya. Kah! Hahaha...
Nampak sangat tak ada jiwa jurutera langsung kan... hehehe
Begitulah, jiwa Cikgu sukakan ketenangan sebenarnya. Bukan kehidupan mendesak dan pecah kepala macam seorang jurutera lagaknya. Jadi bila orang cakap rugi belajar segala, Cikgu tak kisah pun. Pada Cikgu, ilmu yang kita pernah pelajari, tak ada yang rugi pun. Walaupun tidak jadi jurutera, ilmu kejuruteraan tetap Cikgu dapat manfaatkan untuk berkongsi dengan pelajar-pelajar dan digunakan dalam kehidupan sendiri juga. Ynag penting adalah sesorang tu akan menjadi lebih bijaksana dengan kayanya ilmu pengetahuan dalam diri dia. Setuju?
Bila difikir lagi, eh aku jadi guru pula sekarang ya? Itu pun salah satu cita-cita dalam buku laporan sekolah rendah dulu! Hahaha.. walaupun bukan guru sekolah, tapi Alhamdulillah bergelar juga sebagai warga pendidik rupanya.
Cita-cita sebagai peguam pula macam mana? Oh itu memang sukar nak dicapai. Lainlah kalau Cikgu ada ambil bidang Undang-undang semasa di universiti dulu.. hihi gurau sahaja ya.
Itu cerita Cikgulah..
Cerita pelajar-pelajar pula bagaimana?
Pada Cikgu, tak kisahlah kamu mahu bercita-cita jadi apa pun. Tetapi pastikan ia bermanfaat dan mudah nak beragama! – ini pesanan CIkgu yang maha penting.
Jangan kerana kerja, kamu susah nak solat terutamanya. Tak berbaloi bergaji besar tapi tak solat, tahu? Sedangkan kita tahu hujung kepada semua nikmat dan kemasyhuran dunia adalah KEMATIAN. manusia, sehebat mana pun atas dunia tetap akan mati. Dan kemudian, amal mereka dihisab. Demi kerjaya, jangan sampai melupakan mati dan beringat untuk beramal ya?
Dan mungkin ini juga yang banyak Cikgu fikirkan dahulu semasa kerja di kilang. Ada hari-harinya kerja memang sibuk sehingga boleh terlepas waktu solat dan leka bab aurat serta ikhtilat pergaulan.
Tapi kini Alhamdulillah, Cikgu bersyukur kerana berkecimpung dalam dunia hometuition, Cikgu tak ada masalah untuk solat awal dan banyak juga ibadah-ibadah lain yang boleh dikejar.
Anak-anak, tak salah mahu bercita-cita apa pun okey.
Tapi ingat pesan Cikgu ya.
Di mana pun kamu, apa pun kerjaya kamu nanti, pastikan solat tidak tinggal. Pastikan tidak tergadai maruah dan nama seorang Islam ya?
Semoga dapat sesuatu dari perkongsian Cikgu kali ini.